Di Sarawak, orang dahulu memanggil songket sebagai ‘kain’, mungkin disebabkan itu songket Sarawak tidak begitu dikenali seperti songket dari beberapa negeri di Semenanjung. Ianya dikenali sebagai ‘kain belatak’, ‘kain penakan’,’kain berunei’ dan ‘kain berturus’. Namun begitu, songket yang dihasilkan di negeri ini sebenarnya memiliki keunikan tersendiri seperti kelainan dari segi teknik serta motif yang dihasilkan berbanding songket yang dihasilkan di negeri lain, malahan kami di Seri Gedong Songket juga menerima tempahan daripada peminat songket dari Semenanjung,” katanya kepada Bernama.
Teknik ‘Sifir Sarawak’ antara perbezaan ketara songket dari negeri ini dengan songket negeri lain. Proses menghasilkan songket adalah sama, cuma teknik di sini ada sedikit lain. Cara pembahagian benang berlainan kerana songket Sarawak memiliki sifir tersendiri, sifir pembahagian benang dilakukan untuk menimbulkan motif, teknik tenunan pula, mempunyai dua kali ketuk, empat kali ketuk dan enam kali ketuk. Songket Sarawak juga mementingkan kekemasan di bahagian belakang dan menggunakan teknik tapok (benang sembunyi). Keistimewaan songket Sarawak juga apabila ia boleh digunakan di bahagian luar dan dalam kerana memiliki corak yang sama,” katanya.
Seri Gedong Songket masih mengekalkan teknik tenunan tradisional dan manual, selain memberi tumpuan untuk menghasilkan tenunan motif Songket Melayu Sarawak. Songket yang dihasilkan mengikut tempahan pelanggan, lebih lama tempoh menenun, kesukaran motif, jenis benang serta nilai kepada songket yang ditenun itu menjadi faktor kepada harga jualan. Setakat ini songket paling murah dihasilkan serta dijual ialah RM1,800 manakala paling mahal RM12,000.” katanya.
Sumber–BERNAMA
Email: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.